Dalam
melangkah, terkadang terasa lemah kaki yang diatur. Terasa letih tubuh yang
menanggung. Namun, langkah harus diteruskan demi sebuah perjuangan. Ya, kerana
agama dan redha Allah, hati dan kaki ini terus jalan seiring menyusuri denai
dakwah.
Entah
kan bila harus terus berjalan. Yang pastinya perjuangan ini tidak akan dan
tidak pernah selesai. Selagi nyawa dipinjamkan, selagi itulah tugas dakwah ini
terpikul kemas di bahu seorang yang bergelar muslim.
"Aku bersaksi tiada Tuhan yang layak disembah selain
Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah"
Kalimah
yang biasa dilontarkan sama ada orang yg melafazkannya memahaminya atau tidak.
Setiap kali solat, inilah bai'ah kita kepada Allah. Namun, sejauh mana bai'ah ini membuatkan kita
benar-benar teguh berusaha untuk mengotakannya. Syahadatain
bukan sekadar tunggu untuk dilafaz, tetapi untuk diterjemahkan dalam amalan
kita. Ya, apakah kita mengekspresikannya melalui tindak tanduk kita seharian?
Tepuk dada sendiri, tanya iman di hati.
Keluhan
dan rungutan dalam melakukan kerja-kerja Islam tidak seharusnya terpacul dari
mulut kita. Sepatutnya kita malu untuk berkira setelah segala nikmat Allah
limpah ruahkan kepada kita tanpa meminta kita membayarnya walau sebesar zarah
sekalipun.
Tanyakan
pada diri, "letihkah kau
bekerja dalam islam? Bosankah kau untuk berjuang?"
Ya,
setiap apa yg kita lakukan sama ada kecil atau besar perlukan kesabaran. Kerana
jika tanpa sabar dalam memenuhinya, datanglah rasa jemu memagut hati supaya
meninggalkan kerja-kerja untuk islam ini. Bukankah Allah sudah awal-awal lagi
menitipkan kepada kita melalui pesan Luqman kepada anaknya dalam surah Luqman:ayat 17
Maksudnya: "wahai anakku,
laksanakanlah solat dan suruhlah (manusia) berbuat yang makruf dan cegahlah
(mereka) dari yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpamu.
Sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang penting."
Apabila
memerlukan kesabaran, tentulah perkara itu sukar dan akan menghadapi cabaran.
Tiada perjuangan yang manis dari awal hingga akhir. Tiada pengorbanan yang
dirasakan ringan. Kerana perjuangan itu bukan semudah ABC. Jika disusuri sirah
di mana jalan dakwah yang baginda lalui juga bukanlah ditaburi dengan
bunga-bunga kesenangan.
Tetapi
baginda setiap hari ditohmah dan dihina kaum Quraisy yang menentang
wasilah agama yang dibawa oleh baginda. Bayangkan seorang nabi dilempar dengan
najis. Namun, baginda tetap sabar dan tidak marah kerana diperlakukan demikian.
Untuk tawar hati dengan mad'u, jauh sekali.
Tapi
kita hari ini tidak pernah dijentik sekalipun dalam berdakwah, tapi sudah
berputus asa. Apalah sangat dugaan kita berbanding Rasulullah, kekasih Allah.
Sebaliknya kita mencontohi Rasulullah akan keperibadian baginda yang mulia.
Itulah cabaran pejuang.
Apabila
kita sudah tahu perjuangan itu sukar, persiapkanlah diri. Ibadah. Thaqafah. Dan
yang lain-lainnya juga. Biar
kita payah, asalkan perjuangan terus didakap kemas. Kerana perjuangan itu bukan
semudah ABC, lalu menjadi kewajipan untuk kita bersiap sedia dari segenap segi.
Ayuh kita buru syahid di jalan Allah. Bukannya melarikan diri kerana gentar dan
lebih rela digelar pengecut. Ayuh. Kembalikan kegemilangan islam. Allahu
Akhbar!